Saturday, 17 December 2011

Ke Mana Hilangnya Keberanian Kita?


Saban hari ku melihat saudaraku ku terbunuh
Negara teman seakidahku diceroboh
Para wanita diperkosa
Anak kecil diseksa
Kekejaman berleluasa
Pemimpin terdiam seribu bahasa


Saudara sekalian, apakah perasaan anda melihat saudara-saudara kita di bumi Palestin ini terbiar begitu sahaja? Dibiar sahaja menderita tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya. Saudara sekalian, cuba kalian bayangkan terdapat lebih-kurang lima puluh lima negara Islam di bumi ini. Bayangkanlah, betapa hebatnya empayar Islam yang akan terbina jika semua negara ini bersatu. Namun, perkara itu hanyalah mimpi semata-mata jika pemimpin-pemimpin Islam masih tidak mengubah sikap buruk masing-masing. Mereka semua sudah hilang keberanian. Korupsi di mana-mana. Pecah amanah, rasuah dan khianat seolah-olah hanya mainan semata-mata bagi mereka.

Liga Arab dan negara-negara Islam hanya berani melaungkan kemarahan terhadap Yahudi yang menjajah bumi Palestin, tetapi apa yang telah mereka lakukan? Ke mana perginya semua keberanian umat Islam yang dahulunya amat digeruni oleh musuh-musuh Allah. Ke mana perginya semangat keperwiraan Khalid Al-Walid, Muhammad Al-Fatih dan Salehuddin Al-Ayubi? Ramai umat Islam hari ini hanyalah umat yang pengecut dan takut untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Umat Islam yang amat terkenal dengan keberaniannya dahulu seolah-olah sudah menjadi dongengan semata-mata.

Rasulullah S.A.W bersabda :
"Orang-orang kafir itu sudah hampir kepada kamu untuk mencetus bibit permusuhan sesama kamu dan mereka mengerumuni kamu kerana ingin merampas harta dan tanah air milik kamu umpama mereka mengerumuni makanan dengan lahapnya. Sahabat bertanya: Adakah ketika itu bilangan kita sedikit? Nabi menjawab: Tidak, bahkan kamu sangat ramai, tetapi kamu ibarat buih-buih di lautan. Allah menghilangkan rasa gerun musuh terhadap kamu dan mencampakkan rasa 'wahan' dalam diri kamu. Sahabat bertanya lagi: Apakah itu 'wahan'? Nabi menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati."

Kesimpulannya wahai  saudara-saudara yang ku hormati sekalian, kekuatan umat Islam terletak pada kesatuan dan perpaduan. Perpaduan dapat menghasilkan umat-umat Islam yang berani dan digeruni musuh. Namun, adakah cita-cita ini akan tercapai suatu hari nanti?
Fikirlah....Ke mana hilangnya keberanian kita?




2 comments: