Monday, 5 December 2011

Jaga tutur bicara



Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Sesungguhnya seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredai Allah, dan dia tidak menyangka bahawa kata-katanya itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat tertentu, maka dicatatkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredaan-Nya hingga ke hari kiamat.


Percakapan adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kita. Namun, adakah kita sebagai orang Islam betul-betul menjaga setiap butir-butir percakapan yang keluar dari mulut sendiri. Sebaik-baik perkataan adalah perkataan yang ringkas tetapi padat. 


"Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." [QS Al-Isra':53]


Ada yang mengatakan bahawa lidah itu lebih tajam daripada pedang. Kata-kata yang tidak elok boleh menjerumuskan kita dalam pergaduhan dan perbalahan. Jika kita tidak menjaga tutur kata, tidak mustahil kita akan menghadapi masalah yang besar. 'Kerana pulut santan binasa,kerana mulut badan binasa".


Amat penting bagi kita semua untuk menjaga manis tutur bicara kata. Setiap percakapan kita akan melambangkan kepribadian kita. Kebiasaannya, orang yang suka berkata perkataan yang merapu atau merepek akan kelihatan seperti orang yang kurang bijak. Lagi banyak perkataan merepek yang kita sebut, lagi terserlahlah ketidakkebijaksanaan kita sendiri. 


Khulasohnya, jagalah setiap tutur bicara kita. Janganlah mencaki-maki sesama insan. Janganlah berkata perkataan yang sia-sia. Pepatah Arab ada menyebut, "Jika berkata-kata itu perak, maka diam itu adalah emas".


Banyak cakap banyak salahnya
Banyak salah banyak dosanya
Banyak dosanya, nak masuk neraka??

No comments:

Post a Comment