Petang yang
hening:
Langit kirmizi membiaskan cahaya
kemerah-merahan ke permukaan bumi. Kicauan burung-burung yang pulang ke sarang
ibarat irama yang mengasyikkan. Pawana yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membelai
tubuhnya yang berbalut baju kurung. Pemandangan matahari terbenam dari bukit
belakang kampus amat indah. Namun, Zinnirah tidak dapat menghayati rutin
hariannya itu kerana hatinya sedang galau memikirkan masalah yang dihadapinya
bersama rakan baiknya.. Selalunya mereka akan duduk bersama memasang
angan-angan untuk masa hadapan. Mereka berdua mengimpikan untuk melanjutkan
pelajaran bersama-sama di luar negara suatu masa nanti. Bergurau tentang calon
suami mereka. Tapi, masalah yang mereka hadapi menyebabkan mereka tidak bersama
petang itu.Dia tidak kisah jika masalah itu hanya melibatkan dirinya. Bukannya
dia tidak biasa menghadapi masalah. Namun masalah yang dihadapinya sekarang
melibatkan rakan baiknya yang sering menemaninya menghayati keindahan panorama
terbenamnya matahari. Semuanya gara-gara surat ringkas yang diterimanya pagi
semalam daripada orang yang tdak disangka-sangkanya. Surat yang menjadi punca
salah faham antara dia dan rakan baiknya, Khalida. Dia masih ingat lagi isi
surat tersebut.
”Salam saudari, kali pertama ku
melihatmu,ku terasa tertarik untuk mengenalimu dengan lebih dekat.Cukup besar
harapanku untuk memulakan persahabatan dengan saudari.”
Yang ihlas
~Syafiq Johari, Fakulti Perubatan~
Bukannya dia tidak kenal dengan pengirim surat tersebut,
malah hampir setiap hari nama itu disebut-sebut oleh Khalida. Dia tahu bahawa Khalida meminati pemuda tersebut.Dia sendiri tidak menyangka bahawa pemuda tersebut tertarik dengan dirinya. Pemuda tersebut amat terkenal dalam kalangan pelajar
di kampus itu kerana selain rupanya yang tampan, dia juga adalah pemain bola sepak
yang hebat.Ramai gadis meminatinya termasuklah sahabat baiknya sendiri, Khalida. Zinnirah menyalahkan dirinya sendiri atas kecuaiannya untuk menyembunyikan surat tersebut daripada pengetahuan sahabat baiknya itu.
Tanpa diduga, Khalida telah membaca surat tersebut yang hanya dibiarkannya di atas meja.
Sejak itulah sahabat baiknya itu
bermasam muka dan sering mengelak daripada berjumpa dengannya. Dia berasa
hairan dengan sikap Khalida yang membuta-tuli menuduhnya mengkhianati sahabat
sendiri. Zinnirah terfikir, betullah kata-kata seorang penyair Arab
dalam puisinya :
“ Cinta merupakan anugerah takdir,
Pertama kali datang,
Terlihat bak air yang tenang,
Namun ketika seseorang yang bersangkutan menerjuninya,
Tenggelamlah
ia di dalamnya,
Tak tertolong
lagi ”
Di bilik asrama:
Khalida terus menyelimuti dirinya dengan
selimut dan berpura-pura tidur sebaik sahaja melihat tampang sahabat baiknya,
Zinnirah memasuki bilik asramanya. Seboleh-bolehnya, dia berusaha untuk
mengelak daripada bersemuka dengan rakan baiknya itu. Dia tahu Zinnirah ingin berjumpa
dengannya kerana rakan baiknya itu tidak tinggal di asrama.Entah mengapa
hatinya berasa sakit melihat wajah itu walaupun dia sedar bahawa Zinnirah tidak
bersalah. Namun apakan daya, dia hanya wanita biasa. Rasa cemburu yang ditiup
syaitan ke dalam hatinya telah membutakan matanya untuk menilai kebenaran. Dia
tahu tidak wajar jika dia menyalahkan Zinnirah tapi dia masih belum bersedia
untuk bersemuka dengan sahabatnya itu. Dia tahu, Zinnirah seorang sahabat yang
baik. Dia sedar yang Zinnirah tidak sesekali akan mengkhianati rakan sendiri.
Tapi, dia seakan-akan tidak dapat menerima hakikat bahawa pemuda yang
disukainya sudah jatuh hati kepada rakan baiknya sendiri. Sudah beberapa kali
Zinnirah cuba bercakap dengannya tetapi dia sering sahaja mengelak. Hatinya
berasa bersalah kerana membiarkan rakan baiknya itu terkontang-kanting
melayani sikapnya ini. Akhirnya, Khalida terlena dibuai mimpi setelah sekian lama
melayani perasaannya.
Malam tanpa bulan:
Khalida berjalan keseorangan dalam
kegelapan malam ditemani lampu jalan yang kebenyakannya sudah rosak. Menyesal
dia terlalu asyik melayari internet hingga tidak sedar masa terlalu pantas
berlalu. Kampusnya terasa begitu jauh. Rakan-rakannya yang lain telah pun
pulang ke kampus lebih awal. Dia terlalu seronok berbual dengan rakannya di
’Facebook’ hingga tidak sedar rakan-rakannya yang lain telah pun pulang. Dalam
perjalanan pulang, dia terasa seperti dirinya sedang diekori dari belakang.
Perasaannya berdebar-debar seolah-olah sesuatu yang tidak elok akan menimpa
dirinya.Tiba-tiba, sepasang tangan yang kasar memeluknya daripada belakang
lantas menutup mulutnya. Pemuda yang memeluknya tersebut cuba mencabul
maruahnya. Khalida berasa terkejut lantas meronta-ronta untuk cuba melepaskan diri.
Namun, kudrat wanitanya tidak dapat melawan tenaga pemuda tersebut yang sudah
dikawal oleh hawa nafsu. Dengan sepenuh tenaga, Khalida menyiku perut pemuda
tersebut lantas cuba melarikan diri. Tetapi, pemuda itu lebih pantas
mengejarnya dan menjatuhknnya ke tepi jalan. Khalida meraung-raung kerana takut
diapa-apakan namun tidak dipedulikan oleh pemuda itu kerana hawa nafsunya
sedang bergelojak untuk membuat perkara yang terkutuk. Tiba-tiba,dia terlihat Zinnirah melalui jalan tersebut lantas dia menjerit meminta pertolongan daripada kawannya itu.Namun,
Zinnirah hanya memandangnya dengan pandangan yang
sinis lalu terusberlalu pergi. Ketika itulah baru Khalida tersedar bahawa Zinnirah amat marah kepadanya. Kala itulah dia tersedar yang dia telah membuat kesilapan yang besar kerana tidak mempercayai rakan sendiri. Dia terus terjerit-jerit nama sahabatnya itu.
Menghampiri waktu Maghrib:
“Khalida,
bangunlah.Tak baik tidur lepas Asar. Kan dah mengigau. Cepat bersiap, dah dekat Maghrib ni. Malam ini kita ada
kuliah.”
Khalida dikejutkan oleh rakan sebiliknya. Dalamkeadaan mamai,
dia terasa ada sesuatu yang bergetar di
bawah bantalnya. Rupa-rupanya dia mendapat mesej daripada Zinnirah.
”Aku minta maaf.Tak pernah terdetik di hatiku untuk
mengkhianati rakan sendiri. Kau jangan salah faham, aku tiada apa-apa hubungan
dengan Syafiq”.
Khalida semakin rasa bersalah kerana telah
menuduh rakannya dengan tuduhan yang tidak berasas. Dia segera membalas,
”Aku
yang sepatutnya minta maaf sebab tuduh kau padahal aku pun tiada apa-apa
hubungan dengan Syafiq. Aku salah sebab tak percayakan kau.Maafkan aku ya.”
Beberapa ketika, mesejnya dibalas,
”Takpelah, hal kecil je. Kitakan kawan
baik, takkanlah nak bergduh sebab lelaki.Hehe, kita jumpa esok kat kampus. Aku
tengah memandu nak balik rumah ni”.
Khalida berasa lega kerana Zinnirah telah
pun memafkannya. Terasa lapang dadanya. Terdengar laungan azan Maghrib dari
surau kampus. Khalida mencapai tuala lalu terus bergegas ke bilik air dan
bersiap-siap bagi menunaikan kewajipannya kepada Sang Pencipta.
Kehilangan yang menyedihkan:
Selesai sahaja kuliah, Khalida merancang
untuk mengajak rakan-rakannya keluar minum menaiki keretanya.
”Khalida!”
Dia
terdengar ada orang memanggilnya. ”Zinnirah kemalangan tadi, keretanya
berlanggar dengan lori. Sekarang dia berada dalam wad kecemasan”.
Termengah-mengah Ain memberitahunya. Khalida berasa sungguh terkejut.Tanpa mempedulikan
orang lain, dia pantas memandu keretanya ke hospital. Setibanya di sana,
dia melihat keluarga Zinnirah sedang bersedih. Ibu Zinnirah yang
mengenalinya pantas merapatinya.
”Zinnirah sudah tiada nak,”
kata ibu Zinnirah sambil menangis kesayuan.
Mata Khalida berkaca-kaca. Tanpa dapat ditahan, manik-manik jernih jatuh membasahi pipinya yang gebu itu.Kata-kata ibu sahabatnya itu membuatkan dia
terduduk di atas lantai hospital.
”Zinnirah, kenapa kau pergi awal sangat, aku
baru nak berbaik dengan kau. Kan kita dah janji sama-sama nak lanjutkan
pelajaran di luar negara. Janganlah tinggalkan aku”.
Rintih Khalida dengan nada yang begitu
menyayat hati.
”Nak, ini semua ketentuan Allah, kita yang
hidup perlu teruskan perjuangan. Jangan berputus-asa dengan rahmat Allah.
Terimalah takdir.”
ibu
Zinnirah tidak dapat menahan sedihnya lalu mereka berdua berpelukan dan
membiarkan air mata mengalir laju di pipi.
Sepuluh tahun kemudian:
Khalida dan suaminya menghabiskan bacaan
Yaasin di kubur arwah sahabatnya itu. Satu Syawal, mereka berdua ingin pulang
ke kampung bagi menyambut Hari Lebaran bersama-sama keluarga. Kubur sahabat
baiknya itu disiram dengan air mawar. Setelah membersihkan pasir-pasir yang
melekat di pakaian mereka, mereka berjalan menuju ke kereta.
”Sayang, terima kasih kerana menerima
abang sebagai suami. Terima kasih kerana sudi menjadi ibu kepada anak-anak
abang.”
ucap suaminya. Pipi Khalida
kemerah-merahan mendengar kata-kata itu.
”Terima kasih juga kepada abang sebab sudi menerima saya seadanya.”
”Nanti kita buat anak ramai-ramai ya.”
gurausuaminya.
”Abang!”
jerit Khalida kegeraman lantas mencubit perut
suaminya tetapi suaminya dapat melarikan diri.Meraka suami isteri berkejaran sekeliling kereta. Kini,
Khalida hidup bahagia bersama suaminya,
Syafiq Johari. Diaj uga sudah menamatkan pelajaran di luar negara sekaligus menunaikan impiannya dan arwah sahabat baiknya.
Laki-laki yang berzina tidak mengawini
melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan
yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau
laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas oran-orang yang
mukmin.
(Surah An-Nuur ayat 3)
*maksud ayat Ini ialah: tidak pantas orang
yang beriman kawin dengan yang berzina, demikian pula sebaliknya.