Wednesday 30 May 2012

Kehilangan yang memeritkan




Petang yang hening:

Langit kirmizi membiaskan cahaya kemerah-merahan ke permukaan bumi. Kicauan burung-burung yang pulang ke sarang ibarat irama yang mengasyikkan. Pawana yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membelai tubuhnya yang berbalut baju kurung. Pemandangan matahari terbenam dari bukit belakang kampus amat indah. Namun, Zinnirah tidak dapat menghayati rutin hariannya itu kerana hatinya sedang galau memikirkan masalah yang dihadapinya bersama rakan baiknya.. Selalunya mereka akan duduk bersama memasang angan-angan untuk masa hadapan. Mereka berdua mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran bersama-sama di luar negara suatu masa nanti. Bergurau tentang calon suami mereka. Tapi, masalah yang mereka hadapi menyebabkan mereka tidak bersama petang itu.Dia tidak kisah jika masalah itu hanya melibatkan dirinya. Bukannya dia tidak biasa menghadapi masalah. Namun masalah yang dihadapinya sekarang melibatkan rakan baiknya yang sering menemaninya menghayati keindahan panorama terbenamnya matahari. Semuanya gara-gara surat ringkas yang diterimanya pagi semalam daripada orang yang tdak disangka-sangkanya. Surat yang menjadi punca salah faham antara dia dan rakan baiknya, Khalida. Dia masih ingat lagi isi surat tersebut.

Salam saudari, kali pertama ku melihatmu,ku terasa tertarik untuk mengenalimu dengan lebih dekat.Cukup besar harapanku untuk memulakan persahabatan dengan saudari.”
Yang ihlas
~Syafiq Johari, Fakulti Perubatan~

Bukannya dia tidak kenal dengan pengirim surat tersebut, malah hampir setiap hari nama itu disebut-sebut oleh Khalida. Dia tahu bahawa Khalida meminati pemuda tersebut.Dia sendiri tidak menyangka bahawa pemuda tersebut tertarik dengan dirinya. Pemuda tersebut amat terkenal dalam kalangan pelajar di kampus itu kerana selain rupanya yang tampan, dia juga adalah pemain bola sepak yang hebat.Ramai gadis meminatinya termasuklah sahabat baiknya sendiri, Khalida. Zinnirah menyalahkan dirinya sendiri atas kecuaiannya untuk menyembunyikan surat tersebut daripada pengetahuan sahabat baiknya itu. Tanpa diduga, Khalida telah membaca surat tersebut yang hanya dibiarkannya di atas meja. Sejak itulah sahabat baiknya itu bermasam muka dan sering mengelak daripada berjumpa dengannya. Dia berasa hairan dengan sikap Khalida yang membuta-tuli menuduhnya mengkhianati sahabat sendiri. Zinnirah terfikir, betullah kata-kata seorang penyair Arab dalam puisinya :

“ Cinta merupakan anugerah takdir,
Pertama kali datang,
Terlihat bak air yang tenang,
Namun ketika seseorang yang bersangkutan menerjuninya,
Tenggelamlah ia di dalamnya,
Tak tertolong lagi ”


Di bilik asrama:

Khalida terus menyelimuti dirinya dengan selimut dan berpura-pura tidur sebaik sahaja melihat tampang sahabat baiknya, Zinnirah memasuki bilik asramanya. Seboleh-bolehnya, dia berusaha untuk mengelak daripada bersemuka dengan rakan baiknya itu. Dia tahu Zinnirah ingin berjumpa dengannya kerana rakan baiknya itu tidak tinggal di asrama.Entah mengapa hatinya berasa sakit melihat wajah itu walaupun dia sedar bahawa Zinnirah tidak bersalah. Namun apakan daya, dia hanya wanita biasa. Rasa cemburu yang ditiup syaitan ke dalam hatinya telah membutakan matanya untuk menilai kebenaran. Dia tahu tidak wajar jika dia menyalahkan Zinnirah tapi dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengan sahabatnya itu. Dia tahu, Zinnirah seorang sahabat yang baik. Dia sedar yang Zinnirah tidak sesekali akan mengkhianati rakan sendiri. Tapi, dia seakan-akan tidak dapat menerima hakikat bahawa pemuda yang disukainya sudah jatuh hati kepada rakan baiknya sendiri. Sudah beberapa kali Zinnirah cuba bercakap dengannya tetapi dia sering sahaja mengelak. Hatinya berasa bersalah kerana membiarkan rakan baiknya itu terkontang-kanting melayani sikapnya ini. Akhirnya, Khalida terlena dibuai mimpi setelah sekian lama melayani perasaannya.


Malam tanpa bulan:

Khalida berjalan keseorangan dalam kegelapan malam ditemani lampu jalan yang kebenyakannya sudah rosak. Menyesal dia terlalu asyik melayari internet hingga tidak sedar masa terlalu pantas berlalu. Kampusnya terasa begitu jauh. Rakan-rakannya yang lain telah pun pulang ke kampus lebih awal. Dia terlalu seronok berbual dengan rakannya di ’Facebook’ hingga tidak sedar rakan-rakannya yang lain telah pun pulang. Dalam perjalanan pulang, dia terasa seperti dirinya sedang diekori dari belakang. Perasaannya berdebar-debar seolah-olah sesuatu yang tidak elok akan menimpa dirinya.Tiba-tiba, sepasang tangan yang kasar memeluknya daripada belakang lantas menutup mulutnya. Pemuda yang memeluknya tersebut cuba mencabul maruahnya. Khalida berasa terkejut lantas meronta-ronta untuk cuba melepaskan diri. Namun, kudrat wanitanya tidak dapat melawan tenaga pemuda tersebut yang sudah dikawal oleh hawa nafsu. Dengan sepenuh tenaga, Khalida menyiku perut pemuda tersebut lantas cuba melarikan diri. Tetapi, pemuda itu lebih pantas mengejarnya dan menjatuhknnya ke tepi jalan. Khalida meraung-raung kerana takut diapa-apakan namun tidak dipedulikan oleh pemuda itu kerana hawa nafsunya sedang bergelojak untuk membuat perkara yang terkutuk. Tiba-tiba,dia terlihat Zinnirah melalui jalan tersebut lantas dia menjerit meminta pertolongan daripada kawannya itu.Namun, Zinnirah hanya memandangnya dengan pandangan yang sinis lalu terusberlalu pergi. Ketika itulah baru Khalida tersedar bahawa Zinnirah amat marah kepadanya. Kala itulah dia tersedar yang dia telah membuat kesilapan yang besar kerana tidak mempercayai rakan sendiri. Dia terus terjerit-jerit nama sahabatnya itu.


Menghampiri waktu Maghrib:

“Khalida, bangunlah.Tak baik tidur lepas Asar. Kan dah mengigau. Cepat bersiap, dah dekat Maghrib ni. Malam ini kita ada kuliah.”
 Khalida dikejutkan oleh rakan sebiliknya. Dalamkeadaan mamai, dia terasa ada sesuatu yang bergetar di bawah bantalnya. Rupa-rupanya dia mendapat mesej daripada Zinnirah.
Aku minta maaf.Tak pernah terdetik di hatiku untuk mengkhianati rakan sendiri. Kau jangan salah faham, aku tiada apa-apa hubungan dengan Syafiq”.
Khalida semakin rasa bersalah kerana telah menuduh rakannya dengan tuduhan yang tidak berasas. Dia segera membalas,
 ”Aku yang sepatutnya minta maaf sebab tuduh kau padahal aku pun tiada apa-apa hubungan dengan Syafiq. Aku salah sebab tak percayakan kau.Maafkan aku ya.”
Beberapa ketika, mesejnya dibalas,
”Takpelah, hal kecil je. Kitakan kawan baik, takkanlah nak bergduh sebab lelaki.Hehe, kita jumpa esok kat kampus. Aku tengah memandu nak balik rumah ni”.
Khalida berasa lega kerana Zinnirah telah pun memafkannya. Terasa lapang dadanya. Terdengar laungan azan Maghrib dari surau kampus. Khalida mencapai tuala lalu terus bergegas ke bilik air dan bersiap-siap bagi menunaikan kewajipannya kepada Sang Pencipta.

Kehilangan yang menyedihkan:

Selesai sahaja kuliah, Khalida merancang untuk mengajak rakan-rakannya keluar minum menaiki keretanya.
”Khalida!”
 Dia terdengar ada orang memanggilnya. ”Zinnirah kemalangan tadi, keretanya berlanggar dengan lori. Sekarang dia berada dalam wad kecemasan”.
Termengah-mengah Ain memberitahunya. Khalida berasa sungguh terkejut.Tanpa mempedulikan orang lain, dia pantas memandu keretanya ke hospital. Setibanya di sana, dia melihat keluarga Zinnirah sedang bersedih. Ibu Zinnirah yang mengenalinya pantas merapatinya.
”Zinnirah sudah tiada nak,”
kata ibu Zinnirah sambil menangis kesayuan. Mata Khalida berkaca-kaca. Tanpa dapat ditahan, manik-manik jernih jatuh membasahi pipinya yang gebu itu.Kata-kata ibu sahabatnya itu membuatkan dia terduduk di atas lantai hospital.
 ”Zinnirah, kenapa kau pergi awal sangat, aku baru nak berbaik dengan kau. Kan kita dah janji sama-sama nak lanjutkan pelajaran di luar negara. Janganlah tinggalkan aku”.
 Rintih Khalida dengan nada yang begitu menyayat hati.
 ”Nak, ini semua ketentuan Allah, kita yang hidup perlu teruskan perjuangan. Jangan berputus-asa dengan rahmat Allah. Terimalah takdir.”
 ibu Zinnirah tidak dapat menahan sedihnya lalu mereka berdua berpelukan dan membiarkan air mata mengalir laju di pipi.


Sepuluh tahun kemudian:

Khalida dan suaminya menghabiskan bacaan Yaasin di kubur arwah sahabatnya itu. Satu Syawal, mereka berdua ingin pulang ke kampung bagi menyambut Hari Lebaran bersama-sama keluarga. Kubur sahabat baiknya itu disiram dengan air mawar. Setelah membersihkan pasir-pasir yang melekat di pakaian mereka, mereka berjalan menuju ke kereta.
”Sayang, terima kasih kerana menerima abang sebagai suami. Terima kasih kerana sudi menjadi ibu kepada anak-anak abang.”
ucap suaminya. Pipi Khalida kemerah-merahan mendengar kata-kata itu.
”Terima kasih juga kepada abang sebab sudi menerima saya seadanya.”

”Nanti kita buat anak ramai-ramai ya.”
gurausuaminya.
”Abang!”
 jerit Khalida kegeraman lantas mencubit perut suaminya tetapi suaminya dapat melarikan diri.Meraka suami isteri berkejaran sekeliling kereta. Kini, Khalida hidup bahagia bersama suaminya, Syafiq Johari. Diaj uga sudah menamatkan pelajaran di luar negara sekaligus menunaikan impiannya dan arwah sahabat baiknya.

Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas oran-orang yang mukmin. 
(Surah An-Nuur ayat 3)

*maksud ayat Ini ialah: tidak pantas orang yang beriman kawin dengan yang berzina, demikian pula sebaliknya.

Saturday 28 April 2012

Memilih Pemimpin Yang Selayaknya



Assalamualaikum semua...
Sekarang ni, bahang Pilihan raya Umum semakin membara. Pelbagai cara dan strategi yang dilakukan oleh parti-parti politik di negara kita untuk mendapatkan sokongan dan undian daripada rakyat. BERSIH, Jelajah Janji Ditepati, BR1M dan banyak lagi yang telah dilakukan mereka semenjak kebelakangan ini. Namun, kuasa memilih pemimpin terletak di tangan rakyat kerana negara kita, Malaysia adalah negara yang mendukung amalan demokrasi. Jadi, amat penting bagi kita sebagai rakyat untuk memilih pemimpin yang baik bagi mentadbir tanah air kita ini. Banyak kepentingannya untuk kita memilih pemimpin yang baik.

Memperbaiki rakyat bermula daripada membaiki pemimpin


Pepatah Arab ada menyebut, memperbaiki rakyat bermula dengan memperbaiki pemimpin. Jadi, untuk menghasilkan rakyat yang baik, perlulah adanya pemimpin yang baik dalam mentadbir negara. Seorang penguasa atau pemimpin adalah cerminan keadaan masyarakatnya. Jadi, jika sesebuah negara itu mempunyai pemimpin yang baik, maka tentulah orang luar akan menganggap rakyat negara itu juga baik. Tetapi, jika pemimpin tidak menunjukkan contoh yang baik, perkara sebaliknya akan berlaku.


Pemimpin haruslah orang yang beriman dan bukannya yang mencintai kekufuran


Al-Quran dan As-Sunnah telah mengingatkan penganutnya agar memilih pemimpin yang baik. Pemimpin haruslah orang yang beriman dan mengutamakan syariat Islam dalam semua perkara. Selain itu, pemimpin haruslah seseorang yang berilmu dan boleh dipercayai. Jika pemimpin itu seseorang yang tidak berilmu, bagaimana dia ingin mentadbir sesebuah negara dan menguruskan berjuta-juta penduduk? Ilmu yang benar adalah yang paling penting sekali bagi seseorang itu. Jika pemimpin itu tidak boleh dipercayai, bagaimana dia ingin mendapatkan kepercayaan daripada rakyatnya?  Jika rakyat tidak boleh mempercayai seseorang pemimpin itu, bagaimana rakyat ingin mematuhi dan mendengar arahan daripadanya. Jadi, pemimpin haruslah seseorang yang dipercayai dan mempunyai kredibiliti sebagai seseoarang pemimpin yang berwibawa.


Besarnya tangunggjawab sebagai seorang pemimpin


Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda,

 "Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara akan diminta pertanggungjawaban  perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu/pekerja rumah tangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya."

Seoarang pemimpin itu mempunyai tangunggjawab dan amanah yang sangat besar dalam menjaga bawahannya. Amanah itu adalah perkara yang paling berat sekaili di dunia. Sebagai pemimpin, amat besar dosanya jika tidak menjalankan tangunggjawab dan amanah yang telah dipikulkan di bahunya itu.

Abu ja’la (ma’qil) bin jasar r.a berkata: saya telah mendengar rasulullah saw bersabda: tiada seorang yang diamanati oleh allah memimpin rakyat  kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti allah mengharamkan baginya surga.  

Kesimpulannya

Wajiblah bagi kita sebagai rakyat untuk memilih pemimipin yang baik dan selayaknya. Nabi SAW memperingatkan, 

‘ Barangsiapa yang memilih seseorang, sedang ia mengetahui bahwa ada orang yang lebih wajar dari yang dipilihnya, maka ia telah mengkhianati Allah, Rasul dan amanat kaum muslimin ’. 

Semoga negara kita mendapat pemimpin yang adil dan baik bagi memacu kita kepada keredhaan Allah. Insyaallah....